20121030

Jambatan tunggu mangsa


30 Oktober 2012

KUALA PILAH – Ibarat retak menanti belah. Begitulah keadaan jambatan di Kampung Tumang, Johol yang hampir runtuh.

Malah keadaan itu juga menimbulkan kebimbangan berikutan ia merupakan laluan utama kepada lebih 200 penduduk, dekat sini.

Penduduk, Abd Hamid Jais, 60, berkata, kawasan tebing berhampiran jambatan itu sudah dipasang batu sangkar pada bulan lalu bagi mengelakkan hakisan akibat hentaman air sungai ketika hujan.

"Namun langkah itu tidak berkesan apabila batu sangkar berkenaan turut rosak apabila dihentam arus sungai," katanya.

Menurutnya, kini apabila musim hujan, tanah di bawah jambatan sudah mendap mendap sekali gus menyebabkan jambatan itu senget dan retak.

"Jambatan ini pernah dibaiki dengan menambah tanah di bahagian yang rosak. Namun, apabila hujan tanah itu mendap lagi.

“Sebelum ini, kerosakan pada jambatan ini tidak terlalu teruk, tetapi hujan lebat yang berlaku pada 21 Oktober lalu merisaukan kami,” katanya.

Sementara itu, Amran Daud, 41, berkata, penduduk mengambil inisiatif meletakkan beberapa papan di kawasan mendapan supaya jambatan boleh digunakan sementara waktu.

“Laluan ini sering digunakan penduduk selain pemandu lori yang membawa keluar hasil getah.

"Sepatutnya lori tidak boleh masuk ke kampung ini kerana laluan ini terhad kepada kenderaan seberat lima tan sahaja,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, kini penduduk terpaksa menanggung risiko dan berharap pihak berkaitan dapat mempercepatkan kerja baik pulih.

Katanya, selain masalah jambatan, jalan di kawasan kampung itu juga sudah rosak dan berlubang.

Sementara itu, difahamkan pihak berkaitan sudah berbincang dan bersetuju untuk membaiki jambatan serta jalan kampung tersebut melalui peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri.

20121028

Jalan hampir runtuh


28 Oktober 2012

KUALA PILAH – Hujan lebat sejak minggu lalu mengakibatkan jalan berhampiran jambatan di Felca Berhad Kuala Johol I, II dan Kampung Melekai hampir runtuh.

Difahamkan, hujan lebat selama beberapa jam itu menyebabkan paras air sungai Melekai melimpah sehingga menghakis tanah di kawasan tebing jambatan berkenaan.

Penduduk, Anuar Mahmud, 42, berkata, jalan itu adalah laluan alternatif penduduk berdekatan untuk keluar masuk.

Menurutnya, bagi mengelakkan penduduk terus menggunakan jalan itu, pemberitahuan dan amaran jalan ditutup sudah diletakkan di kawasan berhampiran.

“Walaupun sudah diletakkan tanda amaran, namun pihak berkaitan perlu meletakkan papan tanda simbol tanah runtuh supaya orang ramai mengetahuinya bukan sekadar kon sahaja.

"Saya risau jika berlaku hujan lebat, jalan dan jambatan ini akan runtuh,” katanya.

Anuar berkata, kini penduduk menggunakan jalan Kampung Melekai berhadapan Klinik Kesihatan Johol sementara menunggu jalan berkenaan dibaik pulih.

Katanya, sebelum ini, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran pernah membersihkan dan melebarkan sungai tersebut.

“Jika tiada pembersihan, mungkin kejadian akan lebih teruk lagi. Meskipun begitu, diharapkan pihak berkenaan dapat membaiki jalan ini,” katanya.