20120830

Cari kayu terpakai bina rumah


30 Ogos 2012

JOHOL – Meskipun menghuni rumah yang berdindingkan kanvas dan berlantaikan tanah, namun sebuah keluarga di Kampung Melekai tetap tabah meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan.

Ketua keluarga, Awang Timbul, 47, berkata, mereka sudah tinggal di rumah itu dua tahun lalu selepas berpindah dari rumah pusaka yang usang.

Menurutnya, selepas berpindah, dia mencari kayu terpakai untuk membina sebuah rumah dan kanvas untuk dijadikan dinding di bahagian dapur.

"Bila hujan, saya tidak dapat tidur kerana bimbang kanvas  tidak mampu menahan tiupan angin yang kuat.

“Saya memang tidak mampu membina rumah yang selesa kerana hanya bekerja kampung sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM12 sehari,” katanya.

Awang tinggal di rumah berkenaan bersama isterinya, Rogayah Mohamad Sharif, 46, dan adik iparnya, Norlela, 26.

Awang berkata, rumah itu luas dan hanya mempunyai sebuah bilik sahaja untuk Norlela tidur.

Menurutnya, isterinya pula terpaksa tidur di dapur kerana menghidap penyakit asma kronik dan tidak boleh menaiki tangga.

"Saya pula tidak kisah tidur di mana sahaja. Isteri saya menghidapi pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan batu karang.

"Dia perlu mengambil ubat dan kadangkala terpaksa berulang alik dari Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN) untuk melakukan pemeriksaan darah tinggi. Bila pergi ke HTAN, saya menyewa kereta saudara kerana saya tidak memiliki kenderaan. Motosikal pulla pinjam dari jiran. Kos rawatan pula tinggi kadangkala mencecah RM400,” katanya yang berasal dari Sabah.

Katanya, sebelum ini dia pernah membuat permohonan mendapatkan sebuah rumah baru melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menerusi ketua kampung tetapi sehingga kini belum ada maklum balas.

“Saya sudah mohon PPRT tetapi ada pihak yang datang ke rumah hanya mampu membaiki rumah sahaja. Mereka ada datang mengukur bahagian dapur tetapi sehingga kini tiada apa-apa tindakan.

"Tapak rumah yang didiami sekarang milik isteri dan berharap dapat dibina rumah PPRT di sini," katanya.

20120828

Pimpinan PR ziarah bekas AJK Wanita Umno


28 Ogos 2012

SEBERANG PEKAN – Walaupun berbeza fahaman politik, namun itu bukan penghalang kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) untuk menziarahi seorang bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Umno, Zainon Johari, 66, yang terlantar sakit selama enam bulan akibat serangan angin ahmar.

Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Pilah, Zaharudin Othman berkata, tidak salah sekiranya parti politik berlainan menziarahi orang sakit terlantar dan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Tindakan ini adalah lebih baik dan murni. Saya difahamkan, Zainon bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Terusan Seberang yang juga Pengerusi Persatuan Wanita (WI) Seberang Pekan. Semasa beliau sihat, pernah menjadi penggerak utama Umno Bahagian.

“Namun setelah diserang angin ahmar, dia hanya terlantar sakit sahaja di rumah dan tidak dapat mengenali kenalan,” katanya ketika ditemui pada program ziarah itu.

Hadir sama, Ketua Muslimat Pas Kawasan Kuala Pilah Fazilah Abu Samah dan Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kuala Pilah, Azman Hashim.

Pada program itu, pimpinan PR turut menziarahi keluarga yang kurang bernasib baik, keluarga miskin, anak yatim dan sakit terlantar.

Zaharudin berkata, golongan memerlukan tidak dipinggirkan sebaliknya diberi perhatian sewajarnya kerana mereka berhak menjalani kehidupan yang selesa setelah negara mencapai kemerdekaan ke-55 tahun ini.

“Program ziarah ini, tidak mengira parti politik. Asalkan mereka sakit terlantar, kurang berkemampuan, kami tetap menghulurkan bantuan kepadanya,” katanya.

20120819

Majlis Jamuan Hari Raya


Saya kembali ke Selangor untuk mandi, di Kuala Pilah tidak ada air

oleh : Aspan Alilan

19 Ogos 2012 - Pagi tadi saya menziarahi ibu saudara saya dikampung kelahiran saya. Sejak ibu saya pergi, saya jarang-jarang sekali balik ke kampung kelahiran saya di Sg Jelutong, Kuala Pilah. Tetapi arwah ibu saya berpesan supaya saya tidak mengambil ringan terhadap ibu saudara saya itu jika ibu saya sudah tiada di dunia ini.

Saya juga menziarahi bapa saudara saya di sebelah bapa di Kampung Tapak. Hanya seorang sahaja bapa saudara di sebelah bapa saya masih hidup maka saya sangat bergembira berjumpa beliau di hari dan bulan yang baik ini.

Tetapi seperti biasa sejak dari dahulu hingga sekarang dikampung saya itu selalu keputusan bekalan air. Kali ini saya sangat berharap-harap untuk dapat merasakan bekalan air dengan secukupnya apabila melawat ibu saudara dan bapa saudara saya itu.

Tetapi nyata harapan saya itu tidak kesampaian. Seperti hari raya yang sebelum ini sejak begitu lama air sentiasa menjadi masalah di Kawasan DUN Juasseh ini. Saya terus sahaja terfikir kenapa cerita tentang kekurangan air di Selangor, Kuala Lumpur dan putrajaya yang belum pun berlaku, kenapa isu air di Kuala Pilah ini yang sudah menjadi perkara yang lumrah sejak begitu lama tidak diperbesarkan?

Saya terdengar Menteri Besar NS pernah berkata yang NS tidak mempunyai masalah untuk menjual air ke Selangor, tetapi beliau (MBNS) tidak menyedari yang NS sudah menghadapi krisis air ini semasa perayaan seperti ini sudah berlarutan begitu lama. Elok Mohammad selesaikan kes kekurangan air di NS ini dahulu sebelum hendak menjual air kepada mana-mana pihak.

Oleh kerana masalah keputusan air dikampung asal saya itu maka saya kembali ke rumah saya di Selangor yang masih mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi. Saya cadangkan agar Jawatankuasa Khas, tentang isu air yang dipengerusikan oleh TS Muhy agar memasukkan isu air di NS sebagai agenda dalam mesyuarat J/K itu kerana isu keputusan bekalan air di Kuala Pilah merupakan isu yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun dahulu.

Hari ini adalah pengalaman biasa setiap tahun yang saya hadapi dikampung saya itu, maka saya terpaksa kembali ke Subang Jaya di dalam negeri Selangor yang mempunyai bekalan air bersih yang masih tidak terganggu itu.

Saya baru sahaja mandi manda dengan selesa di sebuah negeri yang di isukan bekalan air bersih oleh pihak yang berkepentingan politik itu.

20120816

20120804

Masalah air di Kuala Pilah berlarutan sejak beberapa tahun

4 Ogos 2012

KUALA PILAH – Sejak kebelakangan ini, gangguan bekalan air yang sering berlaku di Kampung Ghalib, dekat sini, menimbulkan rasa tidak selesa segelintir penduduk terlibat terutama ketika menyambut Ramadan.
Penduduk, Khairudin Abas, 43, berkata, masalah air di kampung itu sudah berlarutan hampir beberapa tahun.
“Kampung ini sudah disediakan sebuah tangki pengepam air, tetapi masalah ketiadaan air sering sahaja berlaku.
“Meskipun tangki itu berada tidak jauh dari rumah saya, namun kami sekeluarga masih menghadapi masalah sama disebabkan tekanan air yang rendah,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Menurutnya, mereka sekeluarga pernah mengharungi kesengsaraan selama seminggu berikutan terputus bekalan air.
“Selama seminggu, saya sekeluarga terpaksa hidup dalam serba kekurangan kerana tiada bekalan air bersih. Aktiviti harian seperti memasak, membasuh baju, mandi dan sebagainya agak terbatas.
“Bagi jiran yang memiliki anak kecil, sudah pasti mereka berasa lebih sukar. Ini belum lagi Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti rumah saya nanti tiada air kerana penggunaan air meningkat secara mendadak,” katanya.
Katanya, tangki tersebut sudah tidak mempunyai air berikutan tanda paras air mencecah kepada bacaan kosong.
“Saya lihat tanda aras tong tersebut berada di aras kosong, ini bermaksud tong berkenaan tiada air. Berkemungkinan pelampung air rosak atau sebagainya. Sepatutnya, proses mengepam air secara automatik bukan secara manual.
“Justeru, saya berharap pihak berkaitan dapat turun padang bagi melakukan pemeriksaan lanjut supaya masalah ini dapat diselesaikan segera sekali gus tidak membebankan penduduk,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Meah Rampal, 78, melahirkan rasa kecewa berikutan masalah air masih belum selesai sehingga kini.
“Setiap kali tiba Ramadan dan Syawal, air pasti tiada. Kadang-kadang anak-anak cucu juga kurang gemar balik ke sini kerana tiada air.
“Biasanya waktu kemuncak iaitu sekitar jam 6 pagi hingga malam tiada air. Bila tengah malam, barulah ada air. Esok pula, air kembali tiada hingga timbul rasa bosan kerana perlu menadah air setiap hari,” katanya.