20120411

'Teruknya jalan raya di sini'

'Teruknya jalan raya di sini'

11 April 2012

TAMAN ANGKASA JAYA – Keadaan jalan berlubang dan sempit menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna jalan raya di Taman Angkasa Jaya, dekat sini.


Jalan yang menghala ke Kampung Dioh Seberang Pekan, dekat sini rosak dan membahayakan pengguna jalan raya berkenaan sekali gus dikhuatiri berisiko berlaku kemalangan terutama pada waktu malam akibat ketiadaan lampu jalan.

Tinjauan mendapati, laluan yang berbukit itu sering mengganggu pemanduan kerana pengguna perlu memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba bagi mengelak lubang ketika mendaki dan menuruni bukit.

Salah seorang penduduk, Mohd Isa, 42, berkata, masalah itu dipercayai berpunca dari kerja membaiki pembetung di kawasan itu yang secara tidak langsung menyebabkan berlaku kerosakan dan gerakan tanah.

“Pihak berkaitan difahamkan sudah mengalihkan pili bomba ke tempat lain dan menyebabkan berlaku mendapan tanah di sini.

“Disebabkan itu, jalan semakin lama semakin terhakis dan terbentuk lubang hingga menampakkan saluran air di bawah tanah,” katanya.

Mohd Isa berkata, ada pengguna yang menggunakan jalan itu hampir terlibat dalam kemalangan gara-gara cuba mengelak lubang.

“Lubang itu mudah dilihat di siang hari tetapi sukar pada waktu malam meskipun ada tiang lampu bernombor RPKPA16.

“Pengguna perlu lebih berwaspada supaya tidak bertembung ketika melalui jalan ini yang kecil dianggarkan bersaiz tiga hingga 4.5 meter sahaja dan hanya muat untuk sebuah kereta,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, berharap agar pihak berkaitan dapat menyediakan kemudahan lampu jalan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Pihak kerajaan sering menguar-uarkan dasar pencahayaan untuk taman perumahan dan peruntukan untuk infrastruktur jalan, namun ia seolah-olah sekadar dasar yang tidak diaplikasikan di tempat ini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/teruknya-jalan-raya-di-sini-1.39097