28 Oktober 2012
KUALA PILAH – Hujan lebat sejak
minggu lalu mengakibatkan jalan berhampiran jambatan di Felca Berhad
Kuala Johol I, II dan Kampung Melekai hampir runtuh.
Difahamkan, hujan lebat selama beberapa
jam itu menyebabkan paras air sungai Melekai melimpah sehingga
menghakis tanah di kawasan tebing jambatan berkenaan.
Penduduk, Anuar Mahmud, 42, berkata,
jalan itu adalah laluan alternatif penduduk berdekatan untuk keluar
masuk.
Menurutnya, bagi mengelakkan penduduk
terus menggunakan jalan itu, pemberitahuan dan amaran jalan ditutup
sudah diletakkan di kawasan berhampiran.
“Walaupun sudah diletakkan tanda
amaran, namun pihak berkaitan perlu meletakkan papan tanda simbol
tanah runtuh supaya orang ramai mengetahuinya bukan sekadar kon
sahaja.
"Saya risau jika berlaku hujan
lebat, jalan dan jambatan ini akan runtuh,” katanya.
Anuar berkata, kini penduduk
menggunakan jalan Kampung Melekai berhadapan Klinik Kesihatan Johol
sementara menunggu jalan berkenaan dibaik pulih.
Katanya, sebelum ini, pihak Jabatan
Pengairan dan Saliran pernah membersihkan dan melebarkan sungai
tersebut.
“Jika tiada pembersihan, mungkin
kejadian akan lebih teruk lagi. Meskipun begitu, diharapkan pihak
berkenaan dapat membaiki jalan ini,” katanya.

