KUALA PILAH – Sepasang suami isteri
warga emas dari Kampung Melekai, di sini, kesal apabila pihak
berkaitan yang berjanji untuk membantu mereka membaiki rumah kini
sepi walaupun tindakan susulan telah dilakukan.
Napsiah Abas, 65, berkata, mereka
pernah dikunjungi pihak berkenaan yang turun padang untuk melihat
keadaan rumah tetapi masih tiada tindakan diambil.
Menurutnya, rumah yang dibina sejak
lebih 10 tahun lalu itu pernah berlaku kebakaran pada 2007 di
bahagian dapur dan hingga kini masih tidak dibaiki susulan kekangan
kewangan.
“Meskipun rumah ini usang, dindingnya
sudah dimakan anai-anai, makcik tetap tinggal di sini kerana ini
rumah pusaka dan satu-satunya harta makcik.
“Apabila sudah usang, banyaklah
dinding reput dimakan anai-anai. Bumbung pula bocor sana sini hingga
kadang kala perlu menyediakan baldi untuk menadah air yang menitis
setiap kali hujan,” katanya tinggal bersama suami dan anak.
Katanya, permohonan berkenaan dibuat
sejak lapan tahun lalu.
“Makcik pergi sendiri berjumpa pihak
berkenaan semasa membuat permohonan itu. Ada juga mereka turun padang
melihat keadaan rumah ini, serta mengambil gambar, namun terhenti
setakat itu sahaja.
“Mereka maklumkan, rumah ini besar
dan jika mahu baik pulih memerlukan kos yang tinggi. Menurut mereka
peruntukan hanya ada RM11,000 sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu menurutnya, dia amat
berharap rumah berkenaan dapat dibaik pulih memandangkan mereka tidak
mampu ditambah pula suaminya, Zahari Acin, 69, mengidap kencing manis
kronik sejak 20 tahun lalu dan darah tinggi.
Bagaimanapun katanya, dalam kesempitan
hidup, dia tetap bersyukur kerana Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk
Hasan Malek menyumbangkan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan
suaminya.
“Sememangnya, makcik tiada punca
pendapatan dan hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Itu pun memang tidak cukup
kerana pakcik memakai lampin pakai buang,” katanya.

