19 Ogos 2012 - Pagi tadi saya
menziarahi ibu saudara saya dikampung kelahiran saya. Sejak ibu saya
pergi, saya jarang-jarang sekali balik ke kampung kelahiran saya di
Sg Jelutong, Kuala Pilah. Tetapi arwah ibu saya berpesan supaya saya
tidak mengambil ringan terhadap ibu saudara saya itu jika ibu saya
sudah tiada di dunia ini.
Saya juga menziarahi bapa saudara saya
di sebelah bapa di Kampung Tapak. Hanya seorang sahaja bapa saudara
di sebelah bapa saya masih hidup maka saya sangat bergembira berjumpa
beliau di hari dan bulan yang baik ini.
Tetapi seperti biasa sejak dari dahulu
hingga sekarang dikampung saya itu selalu keputusan bekalan air. Kali
ini saya sangat berharap-harap untuk dapat merasakan bekalan air
dengan secukupnya apabila melawat ibu saudara dan bapa saudara saya
itu.
Tetapi nyata harapan saya itu tidak
kesampaian. Seperti hari raya yang sebelum ini sejak begitu lama air
sentiasa menjadi masalah di Kawasan DUN Juasseh ini. Saya terus
sahaja terfikir kenapa cerita tentang kekurangan air di Selangor,
Kuala Lumpur dan putrajaya yang belum pun berlaku, kenapa isu air di
Kuala Pilah ini yang sudah menjadi perkara yang lumrah sejak begitu
lama tidak diperbesarkan?
Saya terdengar Menteri Besar NS pernah
berkata yang NS tidak mempunyai masalah untuk menjual air ke
Selangor, tetapi beliau (MBNS) tidak menyedari yang NS sudah
menghadapi krisis air ini semasa perayaan seperti ini sudah
berlarutan begitu lama. Elok Mohammad selesaikan kes kekurangan air
di NS ini dahulu sebelum hendak menjual air kepada mana-mana pihak.
Oleh kerana masalah keputusan air
dikampung asal saya itu maka saya kembali ke rumah saya di Selangor
yang masih mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi. Saya
cadangkan agar Jawatankuasa Khas, tentang isu air yang dipengerusikan
oleh TS Muhy agar memasukkan isu air di NS sebagai agenda dalam
mesyuarat J/K itu kerana isu keputusan bekalan air di Kuala Pilah
merupakan isu yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun dahulu.
Hari ini adalah pengalaman biasa setiap
tahun yang saya hadapi dikampung saya itu, maka saya terpaksa kembali
ke Subang Jaya di dalam negeri Selangor yang mempunyai bekalan air
bersih yang masih tidak terganggu itu.
Saya baru sahaja mandi manda dengan
selesa di sebuah negeri yang di isukan bekalan air bersih oleh pihak
yang berkepentingan politik itu.

