28 Ogos 2012
SEBERANG PEKAN – Walaupun berbeza fahaman politik, namun itu
bukan penghalang kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) untuk menziarahi seorang
bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Umno, Zainon Johari, 66, yang terlantar
sakit selama enam bulan akibat serangan angin ahmar.
Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Pilah, Zaharudin Othman
berkata, tidak salah sekiranya parti politik berlainan menziarahi orang sakit
terlantar dan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
“Tindakan ini adalah lebih baik dan murni. Saya difahamkan,
Zainon bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Terusan Seberang yang juga Pengerusi
Persatuan Wanita (WI) Seberang Pekan. Semasa beliau sihat, pernah menjadi
penggerak utama Umno Bahagian.
“Namun setelah diserang angin ahmar, dia hanya terlantar
sakit sahaja di rumah dan tidak dapat mengenali kenalan,” katanya ketika
ditemui pada program ziarah itu.
Hadir sama, Ketua Muslimat Pas Kawasan Kuala Pilah Fazilah
Abu Samah dan Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kuala Pilah, Azman
Hashim.
Pada program itu, pimpinan PR turut menziarahi keluarga yang
kurang bernasib baik, keluarga miskin, anak yatim dan sakit terlantar.
Zaharudin berkata, golongan memerlukan tidak dipinggirkan
sebaliknya diberi perhatian sewajarnya kerana mereka berhak menjalani kehidupan
yang selesa setelah negara mencapai kemerdekaan ke-55 tahun ini.
“Program ziarah ini, tidak mengira parti politik. Asalkan
mereka sakit terlantar, kurang berkemampuan, kami tetap menghulurkan bantuan
kepadanya,” katanya.

