KUALA PILAH – Sejak kebelakangan ini,
gangguan bekalan air yang sering berlaku di Kampung Ghalib, dekat
sini, menimbulkan rasa tidak selesa segelintir penduduk terlibat
terutama ketika menyambut Ramadan.
Penduduk, Khairudin Abas, 43, berkata,
masalah air di kampung itu sudah berlarutan hampir beberapa tahun.
“Kampung ini sudah disediakan sebuah
tangki pengepam air, tetapi masalah ketiadaan air sering sahaja
berlaku.
“Meskipun tangki itu berada tidak
jauh dari rumah saya, namun kami sekeluarga masih menghadapi masalah
sama disebabkan tekanan air yang rendah,” katanya kepada Sinar
Harian, kelmarin.
Menurutnya, mereka sekeluarga pernah
mengharungi kesengsaraan selama seminggu berikutan terputus bekalan
air.
“Selama seminggu, saya sekeluarga
terpaksa hidup dalam serba kekurangan kerana tiada bekalan air
bersih. Aktiviti harian seperti memasak, membasuh baju, mandi dan
sebagainya agak terbatas.
“Bagi jiran yang memiliki anak kecil,
sudah pasti mereka berasa lebih sukar. Ini belum lagi Hari Raya
Aidilfitri, sudah pasti rumah saya nanti tiada air kerana penggunaan
air meningkat secara mendadak,” katanya.
Katanya, tangki tersebut sudah tidak
mempunyai air berikutan tanda paras air mencecah kepada bacaan
kosong.
“Saya lihat tanda aras tong tersebut
berada di aras kosong, ini bermaksud tong berkenaan tiada air.
Berkemungkinan pelampung air rosak atau sebagainya. Sepatutnya,
proses mengepam air secara automatik bukan secara manual.
“Justeru, saya berharap pihak
berkaitan dapat turun padang bagi melakukan pemeriksaan lanjut supaya
masalah ini dapat diselesaikan segera sekali gus tidak membebankan
penduduk,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk,
Meah Rampal, 78, melahirkan rasa kecewa berikutan masalah air masih
belum selesai sehingga kini.
“Setiap kali tiba Ramadan dan Syawal,
air pasti tiada. Kadang-kadang anak-anak cucu juga kurang gemar balik
ke sini kerana tiada air.
“Biasanya waktu kemuncak iaitu
sekitar jam 6 pagi hingga malam tiada air. Bila tengah malam, barulah
ada air. Esok pula, air kembali tiada hingga timbul rasa bosan kerana
perlu menadah air setiap hari,” katanya.

