30 Ogos 2012
JOHOL – Meskipun menghuni rumah yang berdindingkan kanvas
dan berlantaikan tanah, namun sebuah keluarga di Kampung Melekai tetap tabah
meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan.
Ketua keluarga, Awang Timbul, 47, berkata, mereka sudah
tinggal di rumah itu dua tahun lalu selepas berpindah dari rumah pusaka yang
usang.
Menurutnya, selepas berpindah, dia mencari kayu terpakai
untuk membina sebuah rumah dan kanvas untuk dijadikan dinding di bahagian
dapur.
"Bila hujan, saya tidak dapat tidur kerana bimbang
kanvas tidak mampu menahan tiupan angin
yang kuat.
“Saya memang tidak mampu membina rumah yang selesa kerana
hanya bekerja kampung sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM12 sehari,”
katanya.
Awang tinggal di rumah berkenaan bersama isterinya, Rogayah
Mohamad Sharif, 46, dan adik iparnya, Norlela, 26.
Awang berkata, rumah itu luas dan hanya mempunyai sebuah
bilik sahaja untuk Norlela tidur.
Menurutnya, isterinya pula terpaksa tidur di dapur kerana
menghidap penyakit asma kronik dan tidak boleh menaiki tangga.
"Saya pula tidak kisah tidur di mana sahaja. Isteri
saya menghidapi pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan batu
karang.
"Dia perlu mengambil ubat dan kadangkala terpaksa
berulang alik dari Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN) untuk melakukan
pemeriksaan darah tinggi. Bila pergi ke HTAN, saya menyewa kereta saudara
kerana saya tidak memiliki kenderaan. Motosikal pulla pinjam dari jiran. Kos
rawatan pula tinggi kadangkala mencecah RM400,” katanya yang berasal dari Sabah.
Katanya, sebelum ini dia pernah membuat permohonan
mendapatkan sebuah rumah baru melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)
menerusi ketua kampung tetapi sehingga kini belum ada maklum balas.
“Saya sudah mohon PPRT tetapi ada pihak yang datang ke rumah
hanya mampu membaiki rumah sahaja. Mereka ada datang mengukur bahagian dapur
tetapi sehingga kini tiada apa-apa tindakan.
"Tapak rumah yang didiami sekarang milik isteri dan
berharap dapat dibina rumah PPRT di sini," katanya.

