20110728

Jalan ke kubur berlubang

Jalan ke kubur berlubang
Sinar Harian 28 Julai 2011

JUASSEH – Penduduk di sini meminta pihak berkenaan membaiki laluan jalan ke tanah perkuburan Kampung Tampin/Pus yang berlubang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tampin/Pus, Abd Razak Sirat berkata, masalah yang berlaku disebabkan saluran air rosak itu sudah berlarutan sejak empat bulan lalu.

Menurutnya, beliau sudah mengadukan masalah itu kepada pihak berkenaan, namun sehingga kini masih tidak tahu apakah tindakan yang diambil.

“Laluan jalan ke tanah perkuburan ini sudah berair dan becak kerana air sentiasa mengalir hingga menyebabkan terbentuk lubang besar sekali gus menyukarkan penduduk menziarahi pusaka saudara mara mereka.

“Jika berlaku kematian ia menyukarkan penduduk kerana perlu melalui jalan yang licin dan dipenuhi air. Meskipun buat masa ini, tidak ada berlaku kematian tetapi perkara itu membimbangkan kami,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Tampin/Pus.

Abd Razak berkata, Ramadan juga akan tiba dan sudah pasti ramai sanak saudara ingin menziarahi pusaka ahli keluarga masing-masing.

“Apabila masalah ini tidak diselesaikan, ia mendatangkan keburukan kepada semua pihak termasuk nama baik kampung. Saya tidak boleh berbuat apa-apa selain memaklumkan masalah ini kepada pihak berkaitan tetapi sehingga kini masih tiada tindakan diambil.

“Seharusnya, mereka memikirkan keselamatan penduduk kerana sudah terbentuk lubang akibat hakisan tanah. Bimbang perkara yang tidak diingini berlaku seperti terjatuh ke dalam lubang,” katanya.

Beliau berkata, masalah kerosakan paip di balai raya Kampung Tampin/Pus menyukarkan penduduk melakukan aktiviti di situ.

“Masalah paip sudah berlarutan sejak empat bulan lalu. Saya sudah maklumkan kepada pihak berkenaan untuk membaiki kerosakan itu tetapi belum ada sebarang jawapan.

“Apabila berlaku kerosakan, aktiviti penduduk terpaksa ditangguhkan kerana tiada bekalan air di balairaya,” katanya.

Justeru, menurutnya, diharap pihak berkaitan dapat memberi perhatian kepada kedua-dua masalah itu kerana ia sudah terlalu lama membuatkan penduduk di sini kecewa.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9377636.asp

20110721

PAS Kuala Pilah utama program kebajikan



Pas utama program kebajikan
Sinar Harian 21 Julai 2011

KUALA PILAH – Pas Kuala Pilah terus membantu dan mempergiat gerak kerja kebajikan rakyat, di sini demi kesejahteraan bersama.

Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Pilah, Zaharuddin Othman berkata, mereka bergerak dari rumah ke rumah bagi membantu mengurangkan masalah rakyat miskin di Kuala Pilah yang masih lagi pada tahap belum memuaskan.

Menurutnya, rakyat miskin di Kuala Pilah adalah tertinggi berbanding daerah lain di Negeri Sembilan.

“Sebanyak 24 peratus daripada jumlah kadar kemiskinan di Negeri Sembilan seperti dikeluarkan Laman Web Rasmi Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, Negeri Sembilan.

“Atas kesedaran, keprihatinan dan tanggungjawab, Pas Kuala Pilah giat melaksanakan program Kebajikan Bersepadu dalam membantu masyarakat memerlukan,” katanya.

Zaharuddin berkata, program bersepadu itu adalah kesinambungan program sebelum ini.

“Salah satunya ialah program turun padang menyampaikan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU), orang sakit, warga emas dan ibu tunggal.

“Di samping itu, kami akan membuka Pusat Khidmat di markas Pas Kuala Pilah dan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menerima serta menangani masalah yang dihadapi masyarakat setempat di DUN tersebut,” katanya.

Malah katanya, program bersepadu itu juga melibatkan khidmat sosial seperti gotong-royong membersihkan kawasan rumah, membaiki komputer, khidmat tuisyen dan lain-lain.

“Program ini selaras dengan motto Negara Berkebajikan yang didukung Pas dan merupakan penterjemahan secara praktikal makna motto tersebut.

“Pas prihatin dan mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik serta akan terus membantu mereka agar dapat merasai hidup lebih bermakna sama seperti rakyat lain,” katanya.

Justeru itu, sebagai permulaan, Pas Kuala Pilah telah turun padang memberikan sumbangan kepada individu di DUN Senaling.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua Pas Kawasan, Abd Karim Shahimi Abd Razak; Bendahari Pas Kawasan Kuala Pilah Shaharudin Abd Rahman; Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat Pas Kawasan, Noorbibah Mahmud dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Kuala Pilah. Rosidi Yusof.

Sinar Harian turut difahamkan, sumbangan ini akan diteruskan secara berkala dan akan dipergiatkan pada Ramadan yang akan datang serta membantu mereka yang memerlukan untuk menyambut Aidilfitri.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9354374.asp

20110719

Masalah Air di Matrik Kuala Pilah sejak Zaman Pak Kaduk



Masalah Air di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan
Aduan Rakyat Online, July 18th, 2011

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.

Saya mewakili para pelajar perempuan di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan yang terletak di Kuala Pilah ingin menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap masalah air yang membelenggu kami, pelajar perempuan yang mendiami kolej kediaman Cendikia (blok C).

Kolej kediaman Cendikia merupakan kolej kediaman yang terletak paling jauh dari pusat pentadbiran dan dewan kuliah. Selain daripada perlu menghadapi kenyataan bahawa asrama kami merupakan asrama yang paling jauh, kami juga mengalami gangguan air yang teruk. Terdapat 4 blok iaitu C1, C2, C3 dan C4. Setiap blok dianggarkan terdapat lebih 150 pelajar perempuan.

Pada waktu ini, blok C1 sudah kehabisan air langsung, maka dengan itu, seramai lebih kurang 150 pelajar dari Blok C1 turun ke Blok C2 untuk memenuhi keperluan diri seperti mandi dan sebagainya. Oleh itu, ini menjadikan 300 orang pelajar mandi di satu blok yang sama kerana jarak antara Blok C1 dan Blok C2 adalah yang paling hampir berbanding blok-blok yang lain.

Hal ini menyebabkan Blok C2 juga kehabisan air dan perkara yang sama berlaku pada Blok C3. Oleh hal yang demikian, seramai lebih kurang 450 orang pelajar terpaksa berebut dan bersesak di Blok C4 untuk mandi. Malangnya, tandas di Blok C4 hanya terdapat sebanyak 8 buah sahaja.

Kami telah menyuarakan perkara ini kepada pihak kolej tetapi sekali lagi malang buat kami kerana tiada tindakan diambil oleh pihak kolej. Kata-kata yang kami terima hanyalah “memang dari zaman pak kaduk lagi macam ni”. Mereka seolah-olah tidak ingin mengambil sebarang langkah untuk menyelesaikan masalah yang kami hadapi.

Oleh itu, kami terpaksa mengambil insiatif ini iaitu kami mengadu kepada Aduan Rakyat dengan harapan pihak Aduan Rakyat dapat membantu menyelesaikan masalah kami di sini.

Kami berharap pihak Aduan Rakyat mengambil langkah terbaik bagi menyelesaikan hal ini. Hal ini kerana kami sudah buntu untuk mencari jalan bagi masalah kami ini.

Sekian. Terima kasih.

By: Anis Husna

http://www.aduanrakyat.com.my/masalah-air-di-kolej-matrikulasi-negeri-sembilan

20110711

Tiada khidmat bas ke hospital Kuala Pilah



Sinar Harian 11 Julai 2011

KUALA PILAH – Penduduk sekitar di sini memohon kepada pihak berkaitan untuk menyediakan pengangkutan bas khas untuk berulang alik dari Pekan Pilah ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

Ini kerana rata-rata penduduk yang tinggal di kampung tidak mempunyai kemudahan pengangkutan terutamanya warga emas.

Naib Di-Pertua PAS Kawasan, Abdul Karim Shahimi Abd Razak berkata, masalah ketiadaan pengangkutan khas menuju ke hospital membebankan masyarakat.

“Ada di antara mereka perlu membuat rawatan susulan setiap minggu dan ke hospital atas sebab-sebab tertentu.

“Saya lihat, adalah wajar pihak berkenaan menyediakan bas khas untuk golongan itu supaya dapat mengurangkan beban mereka. Mereka juga tidak perlu lagi menaiki kereta sewa yang sudah tentu harganya jauh lebih mahal berbanding menaiki bas,” katanya.

Sehubungan dengan itu, atas kelewatan masa masa untuk menunggu bas membuatkan penduduk kecewa.

“Bas yang lewat tiba di perhentian bas sudah menjadi kebiasaan buat penduduk di sini. Kadang-kala mereka terpaksa menunggu hampir sejam dan terpaksa menaiki pengangkutan lain untuk ke hospital mahupun ke tempat lain.

“Masalah ini perlu diberi perhatian agar ia mendapatkan kesejahteraan kepada semua pihak. Mungkin cadangan menyediakan bas khas ke hospital dapat melegakan hati penduduk di sini,” katanya.

Malah katanya, atas sebab kekangan kewangan, ada segelintir daripada mereka terpaksa menunggu anak pulang atau menyewa kereta dengan jiran untuk ke hospital.

“Di kampung, kemudahan bas tidak disediakan. Justeru, inisiatif menyewa kereta jiran lebih murah berbanding kereta sewa.

“Perkara ini sudah menjadi kelaziman penduduk di sini. Namun, sampai bila mereka harus bertahan? Sedangkan di negeri lain, pihak kerajaannya telah pun menyediakan bas khas ke hospital bagi memudahkan rakyat. Saya harap pihak berkenaan dapat mempelbagaikan kemudahan di sini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9318195.asp