
Sinar Harian 28 Feb 2011
TERACHI – Penduduk di Taman Sri Terachi di sini, resah dan kecewa berdepan masalah gangguan air di taman berkenaan.
Tanpa notis pemberitahuan, penduduk mendakwa sudah memaklumkan kepada pihak berkenaan supaya menghantar bekalan air tetapi tiada jawapan diberikan.
Difahamkan masalah itu sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu sehingga menyebabkan penduduk tidak tahan menanggungnya lagi.
Zainal Harun, 58, berkata, penduduk juga sering mengeluh kerana kesukaran menjalani kehidupan seharian gara-gara tiada air.
Menurutnya, dia dan beberapa penduduk sudah menghubungi pihak berkenaan untuk memaklumkan masalah itu.
“Kami mengharapkan mereka menghantar bekalan air tetapi sudah dua hari tidak berbuat demikian. Bagaimana kami mahu melakukan kerja rumah seperti membasuh pinggan, memasak dan pelbagai lagi.
“Saya tidak mahu memburukkan mana-mana pihak tetapi sekiranya ada kerjasama, kami tidak kecewa seperti ini,” katanya.
Zainal berkata, dalam sebulan, gangguan air kerap berlaku sehingga penduduk terpaksa mengambil air dari kawasan lain.
“Kami sebenarnya sudah bosan dan malas mahu menghubungi pihak berkenaan kerana mereka seolah-olah endah tidak endah sahaja menjawab panggilan serta memberikan jawapan kurang meyakinkan,” katanya.
Dalam pada itu menurutnya, kedudukan taman terbabit bukan terletak di atas bukit yang mungkin menyebabkan tekanan air rendah tetapi di tepi jalan utama Kuala Pilah-Seremban.
“Jika ada pihak mengatakan tekanan air rendah, ia mustahil kerana kawasan ini tidak berbukit.
“Justeru, saya harap masalah ini segera diatasi dengan membina tangki besar yang boleh menampung jumlah kapasiti penduduk di sini,” katanya.
Zainal berkata, notis awal juga perlu dimaklumkan sekiranya kawasan itu menghadapi gangguan air supaya penduduk dapat bersedia dengan menyimpan bekalan air.
http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8812902.asp






