20110128

Seumpama perangkap maut


Sinar Harian 28 Jan 2011

JOHOL – Jambatan yang merentangi sungai Inas di Kampung Kabong Inas di sini, umpama perangkap maut dan amat berbahaya kepada orang ramai, terutama anak murid yang melaluinya pada waktu pagi.

Penduduk menyifatkan jambatan itu umpama jambatan ‘seram’, kerana besi penghadang kirinya runtuh dan hakisan tanah berlaku di bahagian tiang jambatan berkenaan.

Abdullah Pilus, 42, berkata, apabila musim hujan, keadaan lebih menakutkan kerana arus sungai deras dan boleh menyebabkan sesiapa yang terjatuh akan dihanyutkan tanpa sempat menyelamatkan diri.

“Masalah ini telah berlarutan sejak dua tahun lalu, walau bagaimanapun ia masih tiada tindakan dari mana-mana pihak berkaitan.

“Kami sebagai orang kampung hanya memaklumkan masalah itu kepada peringkat pemimpin kampung dan tindakan seterusnya bukan bidang kuasa kami. Kami tidak mahu melangkaui batas, tetapi apabila masalah ini dipandang sepi, kami terpaksa menyuarakan kepada media,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdullah berkata, walaupun jambatan ini lebar tetapi sesuatu yang tidak diingini boleh berlaku tanpa disedari pada bila-bila masa, bak kata pepatah malang tidak berbau.

Menurutnya, dia juga bimbang keselamatan penduduk dan pelajar yang melalui jalan ini ke sekolah menaiki basikal dan motosikal setiap hari, terutamanya pada waktu malam kerana ketiadaan lampu dan hanya dikelilingi kelapa sawit.

“Jalan ini adalah jalan pintas ke Pekan Senaling. Penduduk Kabong dan Rembau juga melaluinya bagi menjimatkan masa.

“Hakisan tanah juga berlaku di bawah jambatan. Apabila hujan lebat, air sungai yang deras akan menghentam tanah di bahagian tebing,” katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berharap ada pihak berkaitan turun padang melihat masalah berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8685538.asp