20110216

Medan selera pekan Johol ‘mati’


Sinar Harian 16 Feb 2011

JOHOL – Entah di mana silapnya, suasana sepi menyelubungi medan selera pekan Johol kerana tiada pengunjung malah, beberapa kedai dilihat tutup pada waktu beroperasi dari pagi hingga ke petang.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kedudukan yang kurang strategi kemungkinan faktor utama kawasan itu seperti ‘mati’ pada waktu siang hari hinggalah lewat petang selain persaingan daripada gerai makan lain di pekan itu.

Malah, sambutan pelanggan hambar walaupun medan selera itu terletak berhampiran kawasan perumahan.

Peniaga, Shamnorliza Samsudin, 38, berkata, keadaan sepi itu memang dirasai oleh peniaga di sini kerana tidak mempunyai pelanggan.

Menurutnya, walaupun mereka sudah lama berniaga di sini tetapi pelanggan memang berkurangan.

“Pendapatan yang diperoleh tidak pulang modal dan hanya pelanggan tetap yang masih datang ke sini.

“Saya seorang tukang jahit dan memang kita sudah ada pelanggan tetap namun, ia masih juga memberi impak kepada perniagaan kerana kawasan persekitaran suram sahaja. Ada beberapa kedai makan minum tetapi yang buka hanya satu sahaja,” katanya.

Shamnorliza berkata, dia mengakui kedudukan yang tidak strategik menyukarkan pelanggan untuk datang berikutan gerai mereka tidak menghadap jalan utama selain tiada papan tanda.

“Memang kedai ini berada di tepi jalan dan mempunyai tempat letak kereta tetapi orang luar tidak nampak. Jika orang luar dari arah Kuala Pilah ke Tampin, mereka tidak akan perasan medan selera di sini kerana terlindung.

“Begitu juga dengan orang yang datang dari arah Tampin ke Kuala Pilah, mereka sekadar melihat sahaja. Tiada tarikan untuk mereka datang menjamu selera di sini. Sepatutnya bahagian depan perlu menghadap jalan raya supaya mudah dilihat oleh orang yang lalu lalang,” katanya.

Dia berkata, dia sangat kecewa kerana perniagaannya kurang mendapat sambutan dari luar dan hanya mengharapkan pelanggan tetap sahaja.

“Saya bersimpati dengan peniaga lain kerana mereka memerlukan pelanggan untuk mendapatkan pendapatan begitu juga dengan saya. Namun, saya masih ada juga pelanggan tetap kerana saya tukang jahit.

“Jadi apabila pelanggan ada menempah pakaian mereka akan datang lagi dan berpanjangan. Maka kurang sedikit masalah berbanding peniaga lain di sini,” katanya.

Katanya, diharap pihak berkaitan dapat mencari alternatif lain untuk menceriakan kawasan itu.

Sementara itu, penduduk kampung Inas, Siti Khadijah Ismail, 24, berkata, kedudukan medan selera yang agak ke dalam dari jalan utama menyukarkan pelanggan datang ke sini.

Menurutnya, hendak pergi ke sana perlu fikir banyak kali kerana medan selara berkenaan terletak atas bukit, jadi kadangkala lalu tidak perasan.

“Bila kita hendak makan di sana, kedai pula tutup jadi terpaksa membatalkan hasrat untuk ke sana.

“Diharapkan pihak berkaitan dan peniaga dapat mencari alternatif lain bagi menarik perhatian pelanggan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8760088.asp