20080407

Kecoh krisis Masjid di Kuala Pilah

Apa pula kecoh-kecoh krisis masjid di Kuala Pilah ni ? Exco yang berkaitan diminta campurtangan untuk menyelesaikan masalah sehinggakan imam yang dilantik secara sah terpaksa meletak jawatan secara sukarela. Siapa Exco berkaitan ? Sudah pasti Menteri Besar Negeri Sembilan sendiri.

Exco diminta pantau jawatankuasa masjid

Berita Harian 7 Apr 2008 Ruangan Surat : INSTITUSI masjid sekiranya ditadbir dengan baik dan berkesan akan memberi manfaat besar kepada anak kariah, namun jika pucuk pimpinannya bermasalah, jemaah akan berpecah-belah

Sebagai anak perantau, saya sedih dengan keadaan berlaku membabitkan masjid di kampung kelahiran saya, iaitu Masjid Kariah Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Rasa tidak puas hati mengenai pelantikan dan kedudukan pegawai masjid seperti imam, bilal dan siak kedengaran sejak sekian lama.

Jawatankuasa masjid mempunyai dua kumpulan tidak sealiran dalam banyak perkara (walaupun mereka dalam saf sama).

Saya tidak pasti puncanya, sehingga ada pakatan mencabar dan menyingkirkan imam dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jains) melalui sokongan Pejabat Agama Islam Daerah dan Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Pada pandangan saya, imam yang diiktiraf itu tidak pernah melakukan sebarang kesalahan atau menyalahguna kuasa, malah bertindak tegas dalam banyak perkara sumbang dan subahat di kampung.

Ini menyebabkan beliau tidak disenangi oleh segelintir penduduk kampung.

Akibatnya, berlaku pakatan untuk menjatuhkan mereka yang tidak disukai, termasuk melobi pihak berkuasa Pejabat Agama Islam Daerah, manakala kampung pula mengatur strategi dengan berkempen dari rumah ke rumah meminta sokongan.

Perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi ia membabitkan institusi agama, pengurusan rumah Allah.

Sewajarnya, institusi masjid menjadi nadi kepada kekuatan, kegemilangan dan penyatuan ummah.

Sekiranya perpecahan sudah berlaku pada peringkat pengurusan, bagaimana kita mahu menyatukan umat Islam yang semakin hari semakin terhakis pertalian persaudaraan?

Dalam kes ini, dikhuatiri masyarakat kampung akan memperlekehkan fungsi masjid yang sepatutnya menjadi tempat untuk mereka beribadat, selain aktiviti keagamaan.

Untuk perhatian, imam yang menjadi mangsa percaturan ini sudah meletakkan jawatan secara sukarela baru-baru ini, bukan kerana desakan tetapi tidak sanggup lagi melihat masalah berpanjangan.

Kini timbul persoalan dan penduduk kampung tertanya-tanya, mengapa imam perlu meletakkan jawatan dan apakah imam pengganti diiktiraf Jains? Maka, wujudlah perbalahan. Bukankah ini sesuatu perlu dielakkan?

Bukan tujuan saya untuk melobi supaya imam lama diambil semula, malah kita perlu menghormati keputusannya.

Tetapi apa yang saya harapkan Jains atau Exco Agama atau Menteri Besar selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan memantau perkara ini secara serius.

Jika perkara ini tidak ditangani segera, dikhuatiri berlaku perpecahan di kalangan masyarakat.

ANAK PERANTAU NEGERI SEMBILAN,
Selangor

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Surat/20080407010006/Article/index_html